followers

busuk.org

Jumaat, 9 Mac 2012

Mulakan kajian SSM sekarang, kata Cuepacs


MELAKA - Cuepacs berharap penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia dapat dilaksanakan segera.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, sebaiknya perbincangan berhubung langkah penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dimulakan dari sekarang selepas sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dibatalkan.

"Kita harap suruhanjaya ini cepat ditubuhkan dan dapat jasa baik Perdana Menteri, siapa yang jadi pengerusi (suruhanjaya) dapat diumumkan secepat mungkin.

"Ini kerana nak menyediakan sesuatu skim bukannya mudah," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri Melaka di Ibu Pejabat Kontinjen Melaka, di sini hari ini.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya semalam. Beliau turut mengumumkan pembatalan SBPA dan pelaksanaan semula SSM yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.

Mengulas lanjut, Omar berkata antara perkara yang memerlukan perhatian segera suruhanhaya itu ialah isu tangga gaji maksimum.

Ini kerana katanya dengan pembatalan SBPA, isu tangga gaji maksimum yang sebelum ini dibangkitkan di dalam SSM akan kembali berlaku.

"Sebagai contoh kalau gaji seseorang penjawat awam RM4,000, dapat pelarasan gaji 13 peratus, naiklah RM520 tetapi selepas itu habislah (kerana gaji maksimum), ini semua perlu dilihat kembali kerana dalam SBPA dahulu inilah perkara utama yang dibangkitkan," katanya. – Bernama


Sinar Harian



Tiada ulasan: