followers

busuk.org

Jumaat, 16 Mac 2012

‎11 ORANG YANG MENDAPAT DOA MALAIKAT :



‎11 ORANG YANG MENDAPAT DOA MALAIKAT :

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

5, Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

10. Orang yang sedang makan sahur.

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Khutbah Jumaat: Lupa mati, sibuk kejar tuntutan dunia

Alam barzakh beri kerehatan bagi golongan beramal soleh, takwa

SEBAGAI orang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadis, kita mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati adalah peringkat kewujudan yang wajib dilalui manusia. Dalam peringkat kehidupan kita di dunia, jarang umur manusia melebihi 100 tahun, tetapi puratanya mencapai umur antara 60 hingga 80 tahun. 

Umur pendek atau panjang tidak menjadi persoalan kerana akhirnya manusia pasti mati. Bagaimana sihat seseorang, bagaimana megah kuasa dan kaya, namun manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah Nabi dan Rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan Tuhan, bahkan manusia menjadi kekasih Allah SWT pun tidak dapat lari daripada kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di padang Mahsyar.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 78 bermaksud: “Di mana saja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat”.
Setiap manusia pasti mati kerana mati bermakna manusia kembali kepada asal kejadiannya. Ia berasal daripada tanah, maka pastilah ia akan kembali menjadi tanah agar menjadi peringatan kepada manusia. Persoalan mati adalah satu kejadian paling hebat dan tidak dapat dielakkan.
Apabila seseorang manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil kerana jasadnya menjadi hancur lebur kembali menjadi tanah dan rohnya keluar daripada badan manusia. Roh menyebabkan kita hidup, boleh mendengar, melihat, berakal, merasai dan berfikir.

Menurut kamus Mukhtar al-Shahhah oleh Abu Bakr al-Razi, Barzakh bermaksud ‘dinding penghalang antara dua benda’. Berdasarkan iktikad al-Sunnah wa al-Jama'ah, setiap manusia akan berada dalam satu alam yang dinamakan alam Barzakh.

Ia terletak di antara alam dunia dan alam akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar mulai waktu mati sehingga dibangkitkan. Alam Barzakh juga tempat permulaan manusia dihukum segala amalannya di dunia.
Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran seksaan kubur di alam barzakh. Sebaik saja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengebumikan dan dalam perjalanan pulang ke rumah maka dalam suasana yang gelap gelita dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir datang menghampiri dan mendudukkan jenazah.

Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal salih serta ketakwaan yang unggul maka alam barzakh adalah satu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah SWT, maka alam barzakh adalah episod ngeri yang dipenuhi gelombang azab sengsara hingga datangnya hari kiamat. Mereka berkeadaan seperti orang yang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas daripada seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang datang sesudahnya lebih sukar (keras).” (Riwayat al-Tirmizi).

Sahabat Nabi bernama Ubaid bin Umair al-Laitsi pernah berkata, “setiap mayat yang hendak meninggal, pasti liang lahad di mana mayat itu di kubur memanggilnya, “Akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sendiri. Jika waktu hidupmu kau taat kepada Allah SWT maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu. Jika kau derhaka, maka hari ini aku akan menjadi seksa bagimu. Sesiapa memasukinya dengan taat, akan keluar dengan bahagia. Dan sesiapa masuk dengan derhaka, dia akan keluar dengan penuh penyesalan.”

Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang akan berakhir di alam kubur. Seorang ulama al-Rifa’i pernah berkata: “Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali alam kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali buat selama-lamanya.

Renungilah nasib saudaramu yang kini dikuburkan, dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya tertanggal, dulu lidahnya fasih bertutur, kini cacing tanah memakan mulutnya. Dulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.”

Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah berkata kepada beberapa orang rakannya di dalam satu majlis, “Wahai fulan, engkau melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir mengenai alam kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu keadaan sebenarnya dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya.”

Ketika Khalifah Umar mengiringi jenazah sahabatnya lalu kubur memanggilnya dan bertanya, “Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukah aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan terhadap jenazah yang kau cintai ini? Ya jawab Umar.

Kubur itu menjawab: “Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya. Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya?” Tentu jawab Umar. “Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, peha dari lututnya. Aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya.”
Khalifah Umar menangis dan berkata: “Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit.

Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Yang muda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati.
Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku dan bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang diturunkan oleh Tuhanku.”
Mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa pada akhir zaman ini, semakin kurang atau amat sedikit daripada kalangan manusia yang bercakap soal kematian, alam Barzakh dan Mahsyar, kerana manusia sedang sibuk dengan pembangunan kerjaya, kemewahan dan kelazatan kehidupan dunia serta hiburan. Akhirnya mereka terkejut besar apabila malaikat Izrail datang dan mencabut nyawanya.

Khutbah Jumaat ini dipetik daripada laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 

Sumber dan Kredit: Berita Harian

Suka Melewat-Lewatkan Solat ???



Assalamualaikum...

 

Seseorang yang selalu berat nak bersolat fardhu, kenalah check dirinya dahulu. Sebab selalunya kalau kita dah rasa berat nak sembahyang, itu ada kaitan dengan dosa-dosa kita. Jadi bertaubatlah bersungguh-sungguh, moga-moga dengan itu Allah permudahkan kita menyembahnya.

 

Hadis Berkenaan Melambatkan Solat Fardhu :

Saad bin Abi Waqas bertanya Rasulullah SAW mengenai orang yang melalaikan sembahyangnya maka jawab baginda: "Iaitu mengakhirkan waktu sembahyangnya dari waktu asalnya hingga sampai waktu sembahyang lain. Mereka telah mensia-siakan dan melewatkan waktu sembahyangnya, maka mereka diancam dengan neraka wail".

Ibni Abbas dan Said bin Al-Musaiyib turut mentafsirkan hadis di atas : "Iaitu orang yang melengah-lengahkan sembahyang mereka sehingga sampai kepada waktu sembahyang lain, maka bagi pelakunya jika mereka tidak bertaubat Allah menjanjikan mereka neraka jahanam tempat kembalinya".

Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda : "Sesiapa yang mengumpulkan dua sembahyang tanpa ada halangan, maka sesungguhnya dia telah memasuki pintu besar dari pintu dosa-dosa besar". (Riwayat Al-Hakim) - Sumber

Seksaan Bagi Orang Yang Suka Melambatkan Waktu Dan Meninggalkan Solat :

Mereka yang meninggalkan sembahyang akan menerima seksa di dunia dan di alam kubur tidak terlepas daripada tiga seksaan. Tiga jenis seksa di dalam kubur ialah : 

1) Kubur akan menghimpit-himpit serapat mungkin sehingga berselisih tulang-tulang dada.

2) Dinyalakan api di dalam kuburnya dan api itu akan membelit dan membakar tubuhnya siang dan malam tiada henti-henti.

3) Akan muncul seekor ular yang bernama "Sujaul Aqra" dan ular itu berkata : "Allah menyuruh aku membelasah engkau kerana engkau mensia-siakan sembahyang Subuh".

Ia dipukul dari waktu Subuh hingga naik matahari, kemudian dipukul dan dihentak hingga terjunam ke perut bumi kerana meninggalkan sembahyang Zuhur. Kemudian dipukul lagi kerana meninggalkan sembahyang Asar, begitulah seterusnya dari Asar ke Maghrib, dari Maghrib ke waktu Isyak dan seterusnya hingga ke waktu Subuh semula. Demikian berterusan seksaa oleh Sajaul Aqra hinggalah kiamat.

Petua Mengatasi Tabiat Suka Melambatkan Waktu Solat Fardhu :

  • Sembahyang sebaik-baik sahaja masuk waktu sembahyang.
  • Set jam waktu solat kat alarm clock pada handphone anda.
  • Tampalkan poster-poster berkaitan dosa meninggalkan solat pada dinding bilik.
  • Hentikan aktiviti blogging, facebook, twitter dan chating dan terus tunaikan solat.

 

Ingatlah bahawa syaitan tu sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia, supaya manusia jadi orang yang terkutuk di akhirat nanti. Sentiasa ingat bahawa mati itu tidak diramal. Kalau tak 
sempat solat lepas tu tetibe mati pulak, KANTOI !!!


Artikel ni saya share dari facebook...memang tak dinafikan ada di antara kita yg melewat-lewatkan solat...jujur sy sendiri pun adakalanya begitu...huhuhu terasa takut semasa baca & taip artikel ni...mungkin ada yg sudah tahu berkenaan dengan hal ini...sy masukkan ke dalam blog untuk peringatan kepada diri sy sendiri juga...Moga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua...

Kredit: http://belogdaku.blogspot.com