Jumaat, 20 April 2012

Khutbah Jumaat: Bencana angkara kerakusan manusia

Khutbah Jumaat: Bencana angkara kerakusan manusia

Elak laksana pembangunan boleh jejas keseimbangan ekologi

SEMPENA sambutan Hari Bumi pada 22 April ini, maka mimbar hari ini memperkatakan khutbah bertajuk 'Bencana Alam Kewajipan Bermuhasabah'.
Ketika ini kita sering dikejutkan dengan peristiwa bencana alam seperti gempa bumi, tsunami, banjir besar, tanah runtuh, jerebu, ribut, kemarau dan lain-lain lagi. Peristiwa sebegini sebenarnya peringatan daripada Allah SWT kepada makhluknya agar bermuhasabah terhadap diri masing-masing.

Dalam al-Quran, Allah SWT menceritakan banyak tamadun umat manusia dimusnahkan Allah SWT melalui bencana alam, antaranya kaum Nabi Nuh dimusnahkan dengan banjir, kaum Nabi Luth dengan gempa bumi dan kaum Aad pula dilanda ribut taufan tujuh hari, tujuh malam.

Jelasnya, bencana alam yang memusnahkan kaum itu adalah kerana hukuman Allah SWT atas kekufuran dan kemungkaran mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 40 bermaksud: “Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”

Peringatan ayat Allah SWT ini menjadi pengajaran bagi kita bahawa kekufuran dan perbuatan maksiat akan menjadi penyebab datangnya kemurkaan Allah SWT.

Setiap bencana yang menimpa manusia mempunyai tiga pengajaran berbeza. Pertama: Bagi mereka yang terselamat daripada bencana, maka bencana yang menimpa orang lain menjadi peringatan bentuk kasih sayang Allah agar mereka kembali pada jalan-Nya.
Kedua: Bagi orang yang tidak beriman, maka bencana yang menimpa adalah azab dan seksa dari Allah di alam ini yang disebabkan kekufuran dan derhaka terhadap perintah Allah dan rasul-Nya.

Ketiga: Dengan bencana juga, Allah SWT menunjukkan kepada manusia antara orang yang benar keimanannya dan mana yang tidak beriman.

Perlu difahami bahawa bencana alam boleh berlaku disebabkan kesilapan dan kerakusan manusia kerana mengejar kemewahan dunia. Akibatnya sistem ekologi dan keseimbangan alam semesta tergugat.

Insafilah peringatan Allah dalam surah ar-Rum ayat 41 bermaksud: “Telah berlaku pelbagai kerosakan dan bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Ayat ini menyatakan bencana alam di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah dan menghargai alam semesta. Tindakan manusia yang mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan membawa manusia ke arah kemusnahan.

Kerakusan manusia mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan yang akan membawa manusia ke arah kemusnahan.

Malangnya berdasarkan kepada pemerhatian, ada sesetengah pihak melihatnya sebagai satu kebijaksanaan melalui penggunaan teknologi moden dan kreativiti akal manusia sedangkan ia sebenarnya hanya satu kebodohan yang boleh menyumbang kepada bencana dan kemusnahan alam.

Ini kerana hubung kait antara manusia dengan alam sangat rapat sekali kerana ia saling perlu memerlukan.

Menyedari bencana alam sebagai hak mutlak Allah SWT yang tidak diduga, maka kesedaran mengenai peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam mengurus serta mengurangkan kesan bencana alam perlu dilakukan.

Di negara kita, Jabatan Alam Sekitar (JAS) adalah agensi kerajaan bertanggungjawab terhadap pemuliharaan alam sekitar. Fungsi utamanya adalah untuk mencegah, menghapus, mengawal dan membaiki alam sekeliling agar senantiasa terpelihara melalui penguatkuasaan dan program kesedaran serta pendidikan kepada masyarakat. Namun segala usaha itu perlu diperkukuhkan melalui sokongan dan kerjasama padu semua pihak.

Menjadi kewajipan semua pihak memastikan bumi yang kita duduki ini terus selamat. Sebarang rancangan pembangunan dan kegiatan sosio ekonomi masyarakat mestilah tidak merosakkan ekologi alam sekitar.

Elakkan daripada menarah bukit, melakukan pembalakan haram, pembakaran terbuka dan pembuangan sampah tidak terkawal. Berusahalah untuk menghindari diri dan tempat tinggal daripada sebarang bencana dengan menunai segala perintah Allah SWT dan meninggalkan tegahan-Nya.

Justeru, marilah kita bersama bersatu hati di bawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat untuk kemajuan demi agama, bangsa dan negara.

Mimbar yakin jika semua manusia kembali kepada matlamat kehidupan yang sebenar maka bumi yang kita diami ini akan kembali aman dan tenang serta tiada lagi kegelisahan, ketakutan dan kebimbangan.

Marilah sama-sama kita mengurus bumi Allah SWT ini dengan rasa bertanggungjawab, beramanah, jujur bagi mengelak berlakunya kesan buruk terhadap kehidupan, ekonomi dan sosial negara.

Ingatlah anugerah Allah SWT ini akan menjadi rahmat kepada kita dan dalam masa yang sama juga boleh menjadi bala bencana serta azab. Dengan itu seharusnya umat Islam mengambil manfaat dan menambahkan ketakwaan atas kebesaran kejadian Allah ini. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam surah al-Araf ayat 97-98 bermaksud:

“Patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri itu merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka bermain-main?”.

Sumber&Kredit: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

komen Anda?