KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tiada cadangan untuk mengurangkan jumlah cuti umum apabila cadangan gaji minimum dilaksanakan kerana pendirian itu diyakini telah mengambil kira aspek produktiviti.
Beliau berkata, apa yang penting adalah untuk semua pihak meningkatkan produktiviti supaya ekonomi negara dapat terus berkembang.
"Ada beberapa perkara yang kita percaya perlu diberi perhatian kalaupun gaji minimum nanti akan ditetapkan. "Semua pihak ada peranan masing-masing supaya ekonomi terus berkembang, rakyat dapat faedah daripadanya dan tidak bawa kesan yang boleh menjejaskan
pertumbuhan dan sebagainya. Itu kita ambil kira sebab kajian sudah dibuat agak mendalam sejak sekian lama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2012 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebimbangan yang disuarakan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan berkata produktiviti rakyat akan menurun memandangkan jumlah cuti umum yang terlalu banyak di Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam pula dilaporkan berkata dasar mengenai gaji minimum pekerja sektor swasta dijangka diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bulan ini.
"Sebahagian daripada pertumbuhan yang kita lihat dalam negara adalah hasil daripada dasar penswastaan. Bukan sekarang, pada masa lepas pun begitu.
"Ia bukan sahaja penswastaan, ia merupakan peranan sektor swasta yang ingin ditekankan dalam ETP (Program Transformasi Ekonomi). Ini akan jadi pemacu utama sosioekonomi negara. Sektor swasta akan menjadi enjin pertumbuhan. Kerajaan
akan menjadi fasilitator dan pemudah.
"Mungkin penswastaan kurang dan peranan sektor swasta ditingkatkan bagi menyediakan apa jua kemudahan yang diperlukan orang ramai," katanya. - Bernama
Sumber | Kredit: Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan